Ahli Fikir Yang Sekular


Banyak orang kagum dengan profesor di sana,

profesor di sini, dia ahli fikir katanya

Ramai Ph.D di setiap negara, tokoh-tokoh bangsa,

mereka pemikir bangsa di negaranya

Dia itu pemikir bertaraf antarabangsa, disegani dan dihormati,

banyak buku yang dihasilnya

Pada saya mereka bukan ahli fikir atau pemikir di zamannya

Mereka yang sebenarnya pemikir yang bukan ahli fikir

Pemikir dengan ahli fikir tidak sama, jauh bezanya

Pemikir berfikir apa yang dia hendak sahaja atau bermusim

di waktu perlu semata-mata

Ahli fikir dia adalah peka, memikirkan apa sahaja yang terjumpa

Pemikir di waktu hendak membuat tesis atau kertas kerja,

kerana hendak lulus periksa atau diminta

Ahli fikir aktif berfikir,

dia sensitif dengan apa yang dia jumpa dan rasa

Ahli fikir jika melihat satu perkara,

fikirannya menjelajah ke akar umbinya,

berfikir ke asal-usulnya

Melihat gunung, laut, pemandangan yang indah,

fikirannya berjalan hingga terasa kebesaran Tuhannya

Apa yang dia makan, minum, pakai, naik kenderaan,

fikirannya bermusafir hingga terkenang ramai orang yang menjayakannya

Dia terasa banyak orang yang telah berbudi dan berjasa kepadanya

Mereka entahkan miskin, papa, sakit,

lantas mendoakannya hidayah dan keselamatan

Begitulah ahli fikir otaknya sentiasa berjalan, bermusafir,

menjelajah, apa yang dilihatnya

Sekarang yang ramai pemikir bukan ahli fikir

Kerana itulah cerdik pandai ramai yang tidak ada timbang rasa

Ramai di kalangan mereka

tidak ada peri kemanusiaan terhadap manusia

Pemikir hanya syok-syok sendiri dengan kejayaannya,

bukan berkhidmat kepada manusia,

lebih-lebih lagi bukan membesarkan Tuhannya

Bahkan ramai pemikir hidup nafsi-nafsi kawan pun tidak ada

Masyarakat pun mereka tidak kenal,

hanya mereka kenal teori, sijil yang dia suka

Pemikir macam ini bukan hendak menyelesaikan masalah dunia,

tapi teori yang tidak boleh diguna

oleh : Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi